Assalammualaikum, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.
Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana kita dapat lagi
bersama-sama melaksanakan tanggungjawab dalam tahun 2015 ini. Saya ingin
mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua warga SKDS yang telah
bersama-sama bekerja keras menjayakan program khususnya dalam bidang hal ehwal
murid dengan jujur dan ikhlas. Tahun 2014 telah menyaksikan terlaksananya
beberapa program seperti ‘Latihan Kebakaran Bersama Bomba’, ‘Kutipan
Tabung Bencana Kemanusiaan ’, ‘Amalan Hidup Sihat Bersama Milo’ dalam
usaha untuk merealisasikan kemenjadian murid.
Di samping itu, Unit Hal Ehwal Murid juga berkolaboratif
bersama Masjid Jamek Tampin dalam usaha pemantapan sahsiah murid. Antara
programnya ialah, ‘Kem Ibadah’ yang dijalankan dalam cuti sekolah, ‘Kursus
Pengurusan Jenazah’. Ada juga beberapa program bersama agensi luar seperti
Kementerian Kesihatan iaitu dalam ‘Program Awal Remaja’, bersama Polis
dari IPD Tampin iaitu ‘Program Benci
Jenayah’.
Bagi melancarkan pengurusan pentadbiran sekolah pada tahun 2015, khususnya dalam
bidang hal ehwal murid, satu jawatankuasa penggubal Buku Manual Pengurusan dan
Pentadbiran 2014 untuk kali keduanya telah dibentuk untuk merangka dan
menetapkan tugasan semua guru. Secara amnya, terdapat beberapa transformasi
dibuat dalam usaha menggerakkan aktiviti Unit Hal Ehwal Murid selaras dengan
misi dan visi sekolah. Sesungguhnya, kita harus berani mencuba untuk melakukan
perubahan dan pembaharuan. Diharapkan transformasi ini akan membuahkan lonjakan
prestasi yang membanggakan.
Guru yang dihormati sekalian,
Pada tahun 2015, Unit Hal Ehwal Murid telah menetapkan beberapa
perancangan strategik dalam usaha untuk memantapkan pengurusan bagi melahir dan
menjana murid sekolah ini menjadi insan yang berkualiti menjelang 2017.
Diharapkan juga modal insan yang akan dilahirkan mempunyai sahsiah yang
terpuji, berketerampilan dan mampu menyumbang untuk kemajuan sekolah. Oleh itu,
budaya kecemerlangan dalam minda, jiwa dan sanubari setiap warga SKDS perlu diterapkan dan diterjemahkan pula dalam
setiap tindakan yang diambil. InsyaAllah, sekiranya kita sentiasa istiqamah
dalam membudayakan kecemerlangan ini dan mengutamakan murid dalam setiap
tugasan yang kita lakukan, kita akan berjaya melonjakkan kecemerlangan sekolah
sekaligus meningkatkan tahap keyakinan dan kepuasan hati pelanggan (murid dan
ibu bapa).
Sesungguhnya, untuk mencapai visi dan misi yang diharapkan, sekolah memerlukan
satu pasukan yang mantap, mempunyai kemahiran, kemampuan dan kesungguhan yang
tinggi setiap warganya. Sehubungan itu, Jawatankuasa Kerja Hal Ehwal Murid 2015
yang ditetapkan diharap mampu menjayakan setiap tangungjawab yang diamanahkan.
Sekian, wassalam.
“PENGURUSAN EFISIEN PELAJAR BERDISIPLIN”
Hebat kita kerana ilmu
Hebat ilmu kerana amalan
Hebat amalan kerana keberkatan
Hebat keberkatan kerana ikhsan
GPK HEM SKDS
No comments:
Post a Comment